Saturday, August 4, 2012

KONSEP JIHAD DALAM ISLAM


Pengertian Jihad
Dari segi bahasa, jihad berasal dari perkataan ‘al-juhd’ yang bererti keberatan dan kesusahan. Maka Jihad bererti usaha yang memerlukan curahan  daya dan tenaga kekuatan demi untuk  mencapai suatu matlamat dan cita-cita mulia  dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam, keampunan Allah, keredhaan-Nya dan Rahmat-Nya.
           
Berdasarkan pengertian istilah ini, Jihad mengandungi 3 cirinya yang tabi’i :
  1. Ada unsur daya dan tenaga yang terpaksa dicurahkan
  2. Ada unsur matlamat dan cita-cita yang ideal kudus dan tinggi yang hendak dicapai
  3. Ada unsur musuh yang menghalang dan menentang usaha dan perjuangan tersebut

Jenis-jenis Jihad dan bidangnya :
Jihad terbahagi kepada 2 bahagian besar :
  1. Jihad Nafsu ( Jihad besar )
  2. Jihad Lahir ( Jihad kecil )

JIHAD NAFSU
Manusia dicipta dari 2 unsur, jasmani (bersifat lahir), dan rohani (bersifat ghaib) Oleh itu dengan sendirinya kehidupan manusia mempunyai 2 bidangnya, termasuklah juga musuh manusia yang mempunyai 2 bentuk: bentuk lahir (syaitan al-Ins) dan bentuk ghaib (syaitan al-Jin).
Jin, Iblis dan syaitan adalah musuh asli dan abadi manusia yang tidak dapat dilihat :
‘Sesungguhnya ia dan kaum kabilahnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka’                                                                                                                        ( Al-A’raf : 27 )

Iblis dan syaitan memerangi manusia bukanlah pada unsure jasmaninya tetapi adalah unsure kerohaniannya yang menjadi asas kepada kewujudan insane yang hakiki, iaitu untuk membinasakan :
  1. ketulenan aqidah tauhid
  2. keihklasan ibadah dan ubudiyyah
  3. kejernihan dan kesucian akhlak serta ketinggian budi
Selain daripada Iblis dan Syaitan musuh yang bersifat ghaib itu, ada juga musuh yang bersifat ghaib iaitu yang ada dalam diri manusia sendiri. Iaitu musuh Hawa Nafsu.
‘Sesungguhnya musuh yang paling ketat ialah yang ada antara dua lambungmu’   - Nafsu inilah sebagai kubu untuk iblis dan syaitan melancarkanserangan kepada manusia. Kedua-dua jenis musuh ini sangat diberikan perhatian oleh al-Quran dan Sunnah dengan terperinci, kemudian dijelaskan pula oleh ulama’ warisan anbiya’, ulama’ rabbani yang ahli dalam bidang ini. 

 Keagungan Jihad Nafsu
Jihad nafsu merupakan jihad agung (Jihad al-Akbar). Apa yang dimaksudkan dengan agungnya jihad nafsu ialah kerana :
  1. luasnya medan perjuangan yang tidak terbatas
  2. luasnya medan perjuangan yang tidak terhad
  3. sulitnya perjuangan ini kerana pada hakikatnya perjuangan antara manusia dengan dirinya sendiri
  4. kedudukan musuhnya yang tidak dilihat dan dirasa oleh pancaindera
  5. jihad nafsu adalah menjadi pengawas kepada segala jihad yang lain dan seterusnya menjadi bahan penilaiannya.
  6. jihad ini menjadi asas kepada segala jihad yang lain terutama jihad di medan perang dengan kekuatan senjata atau tentera.

Ringkasnya jihad nafsu adalah :
-          jihad untuk membersihkan jiwa, menyucikan hati dari sifat-sifat yang keji untuk diisi dengan sifat-sifat yang terpuji.
-          Jihad untuk membersihkan jiwa dari kekotoran syirik untuk diidi dengan cahaya tauhid
-          Jihad untuk mencapai kemuliaan tauhid, keikhlasan ibadah, kebersihan akhlak dan ketinggian budi
-          Untuk mendapat keampunan-Nya, keredaan-Nya dan rahmat-Nya yang tidak ternilai

Ibadah-ibadah yang khusus (seperti Haji, solat dan setiap ibadah kepada Allah ) juga termasuk dalam daerah jihad Nafsu kerana ia mengandungi 3 unsur :
  1. memerlukan daya dan tenaga
  2. menghadapi musuh iblis dan syaitan
  3. mempunyai matlamat dan cita-cita yang hendak dicapai iaitu keredaan Allah.
JIHAD LAHIR @ JIHAD KECIL
Kecilnya jihad ini ialah kerana perbandingannya dengan jihad nafsu dari sudut-sudut yang telah dijelaskan.

Bahagian-bahagian Jihad Lahir
Jika dilihat dari sudut musuh ia terbahagi kepada :
  1. Jihad untuk menghadapi musuh-musuh bukan Islam di luar masyarakat atau Negara Islam
  2. jihad yang diistilahkan dengan Dakwah @ al-Amr bil-Makruf dan al-Nahy ‘Anil- Munkar, iaitu jihad orang-orang Islam terhadap musuh-musuh Islam dari dalam masyarakat atau dalam Negara Islam sendiri.

Kedua-dua jenis jihad lahir tadi memerlukan tenaga kekuatan dan alat kelengkapan seperti dijelaskan oleh Quran dan Hadis. Dilihat dari sudut ini maka jihad terbahagi pula kepada LIMA bahagian:

Pertama : Jihad dengan Hati
Inilah jihad yang paling rendah dan paling lemah yang membuktikan iman yang paling lemah. Seorang Muslim pada hakikatnya adalah musuh kepada kesesatan, kebatilan dan kemungkaran yang wajib ditentang jika terdaya dengan tangannya. Jika tidak, dengan lisan dan kalamnya. Jika tidak mampu juga hendaklah dengan hati, iaitu tidak mengakui dan merelai apa jua kesesatan. Perkara amar dan makruf  tidak sekali-kali boleh dikompromasikan dalam satu jiwa seorang Muslim.

Yang dimaksudkan dengan jihad dengan hati ialah kerana tidak berdaya untuk menegah kesesatan, kebatilan dan kemungkaran itu dengan tangan dan lidahnya disebabkan kerana merasa yakin akan menerima mudarat kerananya. Oleh itu dalam keadaan ini dia tetap berjihad untuk menegah dan mengubahnya walaupun hanya dengan hati yang tetap marah dan tidak rela dengan perbuatan tersebut.

Kedua :Jihad dengan lisan dan kalam
Jihad lisan dan kalam mempunyai daerah dan bidang yang amat luas. Dan inilah jihad yang sentiasa terbuka pintunya kepada setiap muslim. Bahkan inilah juga jihad yang sentiasa mencabar.
            Peringkat pertama dalam jihad ini ialah : menyampaikan (tabligh) dan menjelaskan ajaran Islam, mengemukakan bukti dan hujah atas kebenaran Islam yang merangkumi hakikat aqidah Islam, hakikat akhlak Islam dan hakikat system perundangannya; memperlihatkan kedudukan hakikat-hakikat tersebut di tengah-tengah gelora pemikiran, ideology, teori-teori dan falsafah dengan berbagai corak dan alirannya yang bertentangan, berlawanan dan bercanggahan; seterusnya menjelaskan segala penyelewengan, pendustaan dan penegeliruan yang dikemukan oleh pihak yang bukan Islam samada secara langsung atau tidak, samada atas tiket atau visa ilmiah atau pun tidak.
            Peringkat kedua : Memberikan nasihat yang baik ( al-Mawizah al-Hasanah), memberikan peringatan (al-Tadhkir), mengadakan perbincangan dengan cara yang baik (al-jidal), dan seterusnya dengan berwasiat dalam perkara yang hak (al-tawasi bi-Hak), dalam perkara kesabaran (al-Tawasibil-sabr) dan dalam kasih saying, belas kasihan (al-Tawasil bil-marhamah).
            Peringkat ketiga : menakutkan mereka terhadap Allah dengan penuh hikmat dan bijaksana. Seterusnya dengan meyampaikan berita gembira dan memberikan harapan baik.

Jihad lisan dan kalam dalam ketiga-tiga peringkat ini memerlukan cara dan jalan yang sesuai dengan keadaan dan suasana, kedudukan dan makamnya. Sementara jalan dan medannya adalah luas. Terpulanglah kepada pakar-pakar dakwah untuk mengatur organisasi yang tersusun dan kemas, yang lebih berkesan dan lebih cepat menuju matlamatnya. Firman Allah yang bermaksud :“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”                                                                                                                                                                                                                                                 ( An-Nahl : 125)

Ketiga : Jihad Dengan Ilmu Pelajaran
Yang dimaksudkan dengan jihad ilmu dan pelajaran ialah jihad untuk memberikan pengetahuan dan kebudayaan Islam kepada setiap anggota masyarakat muslim dan setiap generasi muslim, di samping memberikan pendidikan Islam yang benar, sihat dan sempurna.
            Untuk mencapai tujuan tersebut sudah tentu memerlukan bilangan ahli-ahli yang pakar dan professional dalam setiap bidang dan jurusan. Masyarakat dan Negara adalah berkewajipan  untuk melatih kader-kader tersebut, selain dari usaha sukarela dari anggota masyarakat yang ikhlas dan mencari keredaan Allah
            Banyak cara dan jalan untuk menyampai dan menyebarkan ilmu pengetahuan dan kebudayaan Islam, samada melalui pendidkan secara formal atau dengan cara informal. Dalam setengah keadaan cara informal itu lebih berkesan. Walau bagaimana pun yang pentingnya dalam kedua-dua hal ini hendaklah menepati dengan konsep pendidikan Islam serta mengikut system dan kaedah yang diperlukan oleh kehendak dan tuntutan masa.

Keempat : Jihad wang & harta kekayaan
Dalam kesemua jenis jihad, yang selalu diulangi leh al-Quran ialah jihad “ amwal ” atau harta kekayaan dan jihad diri dan nyawa. Pengulangan kedua-dua jenis jihad ini membuktikan betapa pentingnya jihad tersebut. Antara kedua-dua jenis jihad itu pula telah didahulukan jihad harta dari jihad diri dan nyawa. Ini memberikan fahaman bahawa jihad harta adalah jihad yang terpenting sebelum jihad dengan diri dan nyawa.

            Sebagaimana jihad nafsu itu sebagai senjata ghaib untuk perjuangan jihad lahir, maka demikian lah juga jihad dengan harta adalah sebagai senjata lahir kepada semua jenis jihad. Tanpa jihad nafsu yang menghasilkan kebersihan hati dan kesucian jiwa maka jihadnya akan sia-sia di sisi Allah. Demikian lah tanpa wang dan harta maka jihadnya akan gagal dan tidak sempurna kerana ketiadaan syarat dan alat yang sangat diperlukannya. Samada dalam jihad lisan dan kalam atau jihad pelajaran, atau pun jihad dengan diri dan nyawa di medan perang sangat memerlukan jihad harta dan wang.

            Jihad dengan wang dan harta kekayaan adalah bukti bahawa dia bukanlah orang yang mementingkan diri (musuh besar kepada kerohanian Islam) juga adalah bukti bahawa dia bukanlah manusia kebendaan dan keduniaan yang dikuasai oleh kebendaan dan keduniaan. Manakala ini menjadi sifatnya maka tidak akan merasa payah dan sulit untuk menghadapi jihad di medan perang dengan nyawa dan badan pada bila-bila masa yang diperlukan.

            Jihad wang dan harta kekayaan diistilahkan oleh al-Quran sebagai ‘al-Infaq fi sabilillah’. Selain dari istilah al-Infaq yang digunakan oleh al-Quran ialah istilah ‘ al-Qard’.
‘ Sesungguhnya orang-orang yang sebenarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
                                                                                                                       (Al-Hujurat : 15)

Kelima : Jihad dengan badan atau diri dan nyawa
Inilah jihad yang paling berkesan yang diistilahkan oleh al-Quran dengan ‘al-qital’. Jihad di medan perang termasuk dalam maksud peperangan, tetapi bukanlah semestinya peperangan yang dilancarkan oleh umat Islam itu adalah perang Jihad. Peperangan yang diistilahkan dengan perang jihad itu ialah peperangan kerana jalan Allah atau fi sabilillah. Perang jihad kerana jalan Allah merangkumi kedua-dua sebabnya:
  1. sebab yang berpunca dari dalam masyarakat Islam sendiri; terbahagi kepada dua :
i)                    perang jihad kerana memerangi pemberontak atau penderhaka kepada sebuah pemerintahan Islam yang sah, hak dan adil. ( inilah yang diistilahkan ‘Qital al-bughah’ iaitu golongan yang menderhaka kepada pemerintahan Islam bukan kerana hak dan kebenaran.
ii)                  Perang jihad kerana memerangi puak-puak pengacau dan pelaku huru-hara atau untuk menghapuskan perompak-perompak dan lanun-lanun yang melakukan keganasan, kerosakan dan kefasadan di muka bumi. Inilah yang diistilahkan ‘Qital Qitta’ al-Tariq.

2. berpunca dari luar masyarakat Islam
i)                    perang jihad kerana mempertahankan pencerobohan dan kezaliman diri pihak musush ataupun kerana pembelaan ke atas saudara-saudara Islam yang dihalau dari bumi tanahairnya sendiri.
ii)                  Perang jihad kerana membalas dan mempertahankan pencerobohan musuh sekadar yang sama dengan pencerobohan yang dilakukan oleh pihak musuh, tanpa melampaui batas tersebut.
iii)                Perang jihad kerana membela kaum muslimin yang lemah dan tidak terdaya dan yang telah dizalimi.
  • Perang jihad kerana melemahkan kekuatan musuh atau orang kafir yang mengisytiharkan permusushan terhadap Islam dengan apa jua caranya.

Kesemua jenis jihad di atas adalah termasuk dalam istilah jihad ‘ fi sabilillah’. Walau bagaimana pun jihad ini mempunyai dua wajah : wajah lahir dan wajah batin. Sekalipun pada wajah lahirnya itu menepati dengan syarat-syarat jihad Fi sabilillah namun tidak semestinya dipandang dari wajah batinnya menepati dengan perang jihad Fi sabilillah disebabkan niatnya bukan kerana Allah dan bukan kerana mencari keredaan Allah atau mendapatkan keampunan-Nya, tetapi kerana nama, kerana pangkat, kerana kemasyhuran, kegagahan dan keberanian, atau kerana kekayaan dari harta-harta rampasan perang.

Mengapa Perlunya Jihad
Rahsia mengapa diwajibkan jihad hanya dapat dirasakan melalui fahaman yang mendalam tentang hakikat Islam, memahami risalahnya seperti yang digariskan sendiri oleh Islam dalam al-Quran sebagai sifatnya : agama yang diredai Allah

Islam bererti penyerahan diri kepada Allah. Menurut Islam, setiap makhluk di langit dan di bumi, adalah sujud menyerah diri kepada Allah. Kesemuanya adalah ditundukkan oleh Allah demi keperluan hidup insan di bumi ini. Menurut Islam juga, Allah telah memberikan mandat penuh kepada manusia untuk mempergunakan segala ciptaan bagi membangunkan tamadun. Hanya dengan penyerahan diri  dan sujud kepada Allah, maka tamadun manusia dan tamadun dunia akan benar-benar menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sekiranya kita sebagai makhluk menentang dan memberontak terhadap Allah, maka tamadun manusia dan tamadun dunia tidak akan menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan. Malahan alam semesta dengan isinya akan bangun menentang dengan berbagai mala petaka.

Islam adalah Kalimatullah. Islam juga Nurullah dan Islam itulah Hidayatullah, jalan yang lurus untuk dilalui oleh insane dan itulah Manhaj Rabbani. Natijahnya Islam adalah Rahmat-Ilahi yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan insan dan manusia. Sebagaimana bumi tidak akan hidup subur tanpa ada langit dengan siraman air hujannya atau sinaran cahaya mataharinya maka demikianlah hakikatnya manusia tidak akan dapat hidup tanpa Islam. Kerana itu hanya Islam yang akan melimpah dan mencurah kebaikan dan kebajikan kepada umat manusia. Setiap Muslim yang menerima Islam dengan penuh kerelaan hati, yang menghayati jiwa Islam dengan sendirinya memikul tugas yang sudah pasti; iaitu berjihad kerana Islam demi untuk kesejahteraan manusia.
            Ringkasnya jihad adalah natijah yang pasti dan tabii dari keislaman dan kemusliman. Itulah tenaga penyambung tugas Rasul untuk meninggikan Kalimatullah. Jihad adalah tenaga yang vital untuk mengekalkan keutuhan umat Islam yang menjamin terselamat dari pencerobohan dan kezaliman. Oleh kerana itu Jihad menurut Rasulullah s.a.w akan tetap berjalan terus menerus hingga ke hari kiamat.

RISIKO DARI MENGABAIKAN JIHAD
Sebagaimana yang telah dijelaskan, bahawa keistimewaan dakwah dan risalah Muhammad s.a.w ialah jihadnya; sehingga tidak boleh dipisahkan antara Islam, dakwah dan jihad. Pengabaian jihad adalah ancaman yang sangat membahayakan umat Islam.
            Jihad juga tidak boleh dipisahkan dari cirinya yang terpenting iaitu pengorbanan. Kerana itu korban dan pengorbanan merupakan salah satu lambing yang asasi yang sentiasa disarankan oleh Islam kepada umatnya dalam sepanjang usia dan sejarah hidupnya. Sebabnya Islam menamakan Roh Pengorbanan dan menjadikannya syiar yang disarankan dalam kehidupan setiap muslim ialah kerana itulah hakikat yang mahu diisi dalam setiap masyarakat manusia. Masyarakat yang dikuasai oleh Roh pengorbanan adalah masyarakat yang ideal, kukuh dan teguh ikatan tali perhubungan di antara para anggotanya. Itulah masyarakat yang layak diistilahkan dengan ‘Khaira Ummatin’ (masyarakat yang sebaik-baiknya) iaitu masyarakat yang mempunyai 3 ciri :
1.      iman kepada Allah
2.      menyuruh pada yang makruf
3.      menegah dari yang mungkar

Ketiga-tiga cirri ini pada hakikatnya adalah natijah dan hasil dari Roh pengorbanan yang juga cermin kepada roh jihad.
  • masyarakat Islam yang mengabaikan jihad adalah masyarakat yang sudah kehilangan satu dari bukti keimanan yang paling jelas dan nyata.
  • masyarakat Islam yang mengabaikan jihad adalah masyarakat yang kehilangan cirri ‘khaira ummatin’.
  • masyarakat Islam yang mengabaikan jihad adalah masyarakat yang lebih mementingkan diri, nafsu dan keduniaan.
  • masyarakat Islam yang mengabaikan jihad adalah masyarakat yang telah terurai ikatan tali persaudaraannya. Masyarakat yang sedemikian adalah masyarakat yang fasik yang diancam oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : ‘Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamanya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusannya (azab seksanya) kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik’.   
            Al-Taubah : 24

Dalam ayat ini jelas sekali hubungan antara jihad dengan cintakan Allah dan Rasul-Nya; kerana cinta itu adalah nadi dan nyawa keimanan, sementara jihad dan pengorbanan adalah hasil buah iman yang juga bukti atas cintanya, kerana hakikat cinta ialah pengorbanan untuk yang dicintainya.
            Sangatlah perlu diulangi bahawa punca kelemahan dan kemunduran, kehilangan maruah dan nilai diri masyarakat Islam ialah kerana ketiadaan roh jihad, yang membuktikan kemalapan api iman, atau ketandusan bumi hatinya dari siraman baja iman. Seterusnya kelemahan gelora cinta kepada Allah, pada pembalasan-Nya, keredaan-Nya, keampunan dan rahmat-Nya.

KONSEP SYUHADA’

Penggunaan Dalam Al-Quran

Penggunaan kalimah syahid/ syuhada’ dalam al-quran adalah dengan ertinya yang Cuma dan menyeluruh dan berpusat kepada saksi atas kebenaran dan hakikat Allah, atas kebenaran dan hakikat agama Allah yang disampaikan oleh Rasul-Nya.

Orang yang menjadi saksi atas kebenaran dan hakikat Allah dan agamanya bererti dirinya menjadi bukti atas kebenaran dan hakikat Allah dan agamaNya. Mereka bersedia untuk menjadi saksi atas kebenaran dan hakikat yang tersebut; mereka bersedia untuk membuktikan kepada manusia dan dunia atas kebenaran dan hakikat tersebut samada dengan lisan atau dengan tingkahlaku perbuatan, atau dengan ketinggian budi dan kemuliaan akhlaknya, dengan hal kejiwaan atau hal kerohaniannya, mereka bersedia membuktikan dengan kekuatan hujjah dan burhan ataupun dengan kekuatan senjata dan mata pedang, mereka bersedia membuktikan di medan ilmu ataupun di medan perang. Jelasnya mereka bersedia membuktikannya walaupun dengan pengorbanan hartanya, keluarga dan anak isterinya, bahkan diri dan nyawanya.
            Menepati dengan pengertian ini maka istilah syahid/syuhada’ dalam al-Quran tidak hanya terbatas kepada setiap “mujahid yang gugur di medan perang fisabilillah”. Bahkan merangkum setiap yang menjadi saksi atas kebenaran Allah dan agamaNya, yang juga bersedia membuktikan saksiannya itu kepada manusia dan dunia. Diantaranya ialah Mujahid yang gugur di medan perang jihad fisabilillah. Sebab pun mereka ini layak menerima gelaran syahid/ syuhada’ ialah kerana mereka telah benar-benar menjadi saksi atas kebenaran Allah dan kebenaran agama Allah dan telah rela untuk membuktikan kebenaran apa yang dipersaksikan itu dengan jiad dan pengorbanan seperti yang dituntut oleh Allah dari agamaNya, sehinggalah ia gugur di medan sebagai seorang syahid.
            Kesimpulannya bahawa istilah syahid/ syuhada’ dengan erti Mujahid yang gugur di medan jihad adalah istilah yang diakui dengan diiktiraf oleh Islam dalam kedua-dua sumbernya al-quran dan sunnah.







2 comments:

syiarislam said...

Jihad artinya perjuangan yang sungguh-sungguh di jalan Allah dengan seluruh kemampuan baik dengan harta, jiwa, lisan, mau pun yang lainnya. Jihad terutama ditujukan untuk membela kaum yang tertindas:

“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!.” [An Nisaa' 75]


Jihad merupakan satu kewajiban penting dalam Islam:

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, ia mati dalam satu cabang kemunafikan.” Muttafaq Alaihi.

Dari Anas bahwa Nabi SAW bersabda: “Berjihadlah melawan kaum musyrikin dengan hartamu, jiwamu dan lidahmu.” Riwayat Ahmad dan Nasa’i. Hadits shahih menurut Hakim.

Baca selengkapnya di: http://media-islam.or.id/2011/09/27/jihad-menurut-islam/

syiarislam said...

Jihad artinya perjuangan yang sungguh-sungguh di jalan Allah dengan seluruh kemampuan baik dengan harta, jiwa, lisan, mau pun yang lainnya. Jihad terutama ditujukan untuk membela kaum yang tertindas:

“Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!.” [An Nisaa' 75]


Jihad merupakan satu kewajiban penting dalam Islam:

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mati, sedang ia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, ia mati dalam satu cabang kemunafikan.” Muttafaq Alaihi.

Dari Anas bahwa Nabi SAW bersabda: “Berjihadlah melawan kaum musyrikin dengan hartamu, jiwamu dan lidahmu.” Riwayat Ahmad dan Nasa’i. Hadits shahih menurut Hakim.

Baca selengkapnya di: http://media-islam.or.id/2011/09/27/jihad-menurut-islam/