Saturday, August 4, 2012

Rahsia mendidik anak berlandaskan hikmah dalam agama.



Dari Khazanah Ilmu. (Ezzah)

Rujukkan daripada khazanah , As-Syeikh Mucktar A.B Bawazir, "88 yang tersirat." Harap ilmu ini dapat mendatangkan kebaikkan bagi semua, yang baik itu dari Allah dan buruk itu dari diri saya sendiri.
  
Marilah kita bersama renungkan  secara terperinci, satu persatu rahsia yang berkait rapat dengan pendidikan kepada anak-anak agar menjadi anak yang soleh. Rasulullah saw. membahagikan cara mendidik anak itu ada tiga peringkat asas iaitu,

Pertama : Didikkan pada usia anak sebelum tujuh tahun.

Kedua:     Didikan pada usia anak antara tujuh hingga empat belas tahun.

Ketiga :    Didikan anak waktu usia anak antara empat belas hingga dua puluh satu tahun.


Pertama: Didikan anak pada usia sebelum tujuh tahun
.

Sebaik sahaja anak dilahirkan, maka azankanlah di kedua telinganya bermula kanan dengan Azan dan sebelah kirinya Qamat. Kemudian yang paling utama mandikanlah. Setelah itu berikan nama yang baik iaitu nama yang lazim dalam Islam yang terdapat dalam Al-Quran.

Jika sampai mempunyai empat orang anak (lelaki) sebaiknya ada satu sekurang-kurangnya yang sama namanya dengan nama Nabi Muhammad saw. Berwaspadalah dalam hal ini, kerana Nabi saw. bersabda mafhumnya

"Sesiapapun yang mempunyai empat orang anak, dan tak ada satu pun diantaranya bernama seperti namaku, bererti si-empunya anak tidak berlaku baik terhadapku."

Adapun nama-nama Nabi kita itu terdapat dalam kitab Dalail Khairat iaitu sebuah kitab lama. Himpunan jumlah gelaran atau namanya didalam kitab tersebut adalah 201 nama (gelaran).

Kemudian buatkan Aqiqah yakni amalan korban ternakan seperti kambing atau lembu. Jika aqiqahnya itu lembu boleh di peruntukan untuk tujuh orang anak dengan cara membuat perkongsian. Sebaiknya ketika anak berusia 7 hari. Jika tidak dapat, boleh membuatnya ketika anak itu berusia belasan tahun atau sebelumnya. Jika tidak dapat lakukan aqiqah itu sebelum meninggal dunia mintalah permohonan ampun kepada Allah swt. Demikian ini yang diwarisi dari ulama-ulama dahulu.

Pada hari aqiqah sering tidak mendapat perhatian sehingga ramai yang lalai. Mengikut beberapa kajian ternyata anak-anak remaja yang bermasalah dengan orang tua-nya itu, salah satu faktor penyebabnya ialah tidak di "aqiqahkan" ketika mana orang tuanya mampu melaksanakannya.

Jika anak itu lelaki sebaiknya dikhatankan ketika usianya 7 hari. Berkhatan dalam usia tersebut pada hari ini, lazimnya harus mendapat kebenaran terlebih dahulu dari seorang doktor pakar.

Ada doa khusus ketika anak itu dikhatankan. Perhati satu demi satu ertinya yang begitu tinggi nilainya untuk masa depan si anak. Harap Maaf doa dalam bahasa Arab tak dapat disertakan disini, sila rujukan pada "Susunan doa dalam kehidupan" tulisan Kyai Anwar, atau lain-lain kitab doa-doa.

"Ya Allah ini adalah sunnahMu dan sunnah NabiMu, selawatMu atas baginda (Rasulullah) dan keluarganya. Kami mengikuti Engkau dan NabiMu yang berhubungan dengan kehendakMu, niatMu dan tentang urusan yang kau kehendaki"

 
"Engkau tentukan dan Engkau perintahkan sesuai dengan yang Engkau berikan pengalaman kepadanya, tentang tajamnya pisau sehubungan dengan khatan dan hijamat (pembedahan) dan tentang kesesuainya. Engkaulah yang lebih tahu daripada kami."

 
"Ya Allah bersihkan dosa-dosanya, panjangkanlah usianya, ringankan kesakitannya dan sihatkanlah dia. Jangan biarkan dia menderita kerana sakit dan miskin. Engkau pemilik pengetahuan, sedangkan kami tidak demikian".

Didikan Awal pada Anak

Paling lama menyusukan anak adalah dua tahun atau dua setengah tahun,terkecuali ada sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.Menyusukan anak merupakan didikan awal dari seorang ibu. Janganlah sekali-kali lupa apabila hendak menyusukan anak, membaca doa terlebih dahulu,

"Ta'awuz iaitu "Aku berlindung daripada syaitan yang direjam dan Basmalah, "Dengan nama Allah yang amat pengasih lagi amat menyayangi."

Tujuan membaca Ta'awuz ketika akan menyusukan ialah agar supaya susu yang menjadi darah daging pada anak itu nanti tidak disisipi oleh hawa syaitan.dan Tujuan membaca Basmalah ketika akan menyusukan anak ialah agar perbuatan menyusukan itu akan menjadi darah daging si-anak iaitu darah daging yang pengasih dan penyayang pada sesama makhluk Allah dimuka bumi ini apabila dewasa kelak. Demikian itu yang tersirat didalam hati seorang ibu yang sedang menyusukan anaknya.

Itulah kunci rahsia dari sekalian kunci-kunci rahsia yang akan mewarnakan kelakuan anak dari awal-awal lagi. Sikap seseorang anak juga ditentukan oleh ibu yang sedang menyusukan kerana ketika itu terjadi hubungan jiwa yang amat rapat antara anak dan ibu yang sedang menyusukan. Mengikut penelitian orang tua- tua, seorang ibu yang mengalami kesedihan, kemudian menyusukan anaknya, anaknya itu akan turut sedih dapat dilihat dari raut wajahnya atau kadang-kadang tersentak menangis semasa masih menyusu pada ibunya.

Ada lima pantang yang harus diingat oleh ibu yang sedang menyusukan iaitu:-

a. Jangan berangan-angan.
b. Jangan bercakap yang bukan-bukan.
c. Jangan mendengar suara-suara yang tidak baik didengar atau yang terlarang oleh
    syarak.
d. Jangan makan.
e. Jangan minum sambil menyusukan.

Maka sebaik-baiknya ketika menyusukan anak setailah dengan ucapan yang baik- baik seperti selawat dan yang seumpamanya. Dalam pada itu rasakan benar-benar bahawa kasih sayang anak yang sedang menyusu itu adalah semata-mata kasih sayang kurniaan dari Allah swt.

Curahkan rasa kasih sayang itu melalui pandangan ketika menyusukan. Dahulukan bahagian kanan dan diikuti dengan bahagian kiri. Begitu seterusnya setiap kali menyusukan kanan didahulukan.

Bebaskanlah anak itu bermain sehingga sampai usia tujuh tahun. Walau bagaimanapun, sekali-sekala ketika itu orang tua, khususnya si bapa hendaknya berperanan sebagai sahabat dalam bermain. Apabila genap empat tahun ajarkan huruf-huruf Al-Quran dan begitu pula ketika usia si anak menjangkau hampir tujuh tahun hendaknya telah menguasai hafalan-hafalan tertentu dari ayat-ayat suci Al-Quran.

Janganlah mengaku diri kita, yang kasih sayang itu adalah menjadi haknya. Ertinya gerak hati yang melahirkan kasih sayang itu sebenarnya merupakan gerakan yang datangnya dari Yang Maha Pengasih. Inilah bimbingan yang tersirat didalam hati ibu, suatu bimbingan Tauhid pada anaknya. Nescaya bila dewasa nanti akan memiliki tauhid yang jitu."

Kedua : Menjelang Usia Anak Tujuh Tahun

Apabila usia anak sampai hampir tujuh tahun, ajarkan padanya solat berjemaah. Malah ajaklah sentiasa bersolat bersama (berjemaah), dan ketika solat bersama, anak lelaki yang Azan dan Iqamah (Qamat). Kemudian satu peringatan keras kepada anaknya itu, apabila mencapai usia 10 tahun meninggalkan solat, pukulah pada bahagian belakangnya dengan pukulan yang sederhana, yang tidak sampai mencederakan.

Ketika anak lelaki berusia mendekati tujuh tahun ia tidak boleh tidur dibawah satu selimut  dengan adik perempuannya. Kecuali tempat dan selimut yang berlainan. Tetapi menjangkau usia 10 tahun anak lelaki dan perempuan haruslah terpisah tempat tidurnya. Dalam usia tersebut ajarilah mereka pengertian hadis-hadis yang sederhana yang berhubungan  dengan amalan biasa sehari-hari dan tanamkan rasa cinta pada Rasulullah saw. dengan cara memberikan kisah-kisah teladan yang menggambarkan kasih sayangnya Rasulullah saw. pada umatnya dan jangan lupa kisahkan hal Israk dan Mikraj kerana di dalamnya sangat baik untuk pendidikan anak.

Nota: Sebabnya dalam usia antara tujuh hingga sepuluh tahun daya tangkap pemikiran anak sangat tajam, ia akan memberikan kesan yang sukar dilupakan.

Ajaklah anak sesekali berekreasi (riadah) dan berolahraga. Cintailah anak-anak, tetapi janganlah keterlaluan dan jangan sampai ditonjolkan atau dimanjakan kerana boleh berakibat buruk pada pertumbuhan jiwa si anak iaitu anak tidak akan berusaha mengatasi suatu kegagalan kerana orang tuanya menjadi tempat bergantung dalam segala sesuatu.

Orang tua yang memanjakan anak sebenarnya merosak pertumbuhan IQ anak itu sendiri kerana akibat anak yang dimanjakan itu, ia akan mempunyai sifat , tidak memiliki kesungguhan berusaha dalam apa sahaja tugasnya, khasnya dalam bidang persekolahannya. Seterusnya akan menjadi malas dan tidak berminat untuk mengatasi kegagalan yang dialaminya. Maka kedudukan ibu bapa semestinya di tengah anatara manja dan tegas terhadap anak.

Sebaliknya jangan bersikap kasar terhadap anak dan apabila berjanji, berhati-hatilah, harus penuhi janji itu. Ini adalah cara mendidik anak agar mentaati janji yang diucapkannya kelak, apabila suatu masa nanti diminta janjinya oleh ibu bapa.

Nota: Dalam pada itu, ibu bapa sekali sekala membuat janji tertentu pada anaknya dan menunaikannya, tepat dengan apa yang dijanjikannya, Inilah yang dinamakan pendidikan amali dirumah, mudah tetapi amat berkesan.

Jika ada ramai anak sekalipun, janganlah membezakan antara satu sama lain,. Tetapi dalam memberi hadiah utamakan pada anak yang terkecil dahulu. Tujuannya atau matlamat didikan ini ialah agar abang-abangnya dan kakak-kakaknya itu akan terbiasa dan dapat menjaga adiknya, apabila ketiadaan kedua ibu bapanya kelak.

Kemudian apabila anak akan tidur sebelah malam, cucilah terlebih dahulu wajah dan tangannya dengan menggunakan tuala dan sebaik-baiknya dengan air suam.  Sambil diniatkan serta memohon pada Allah swt. dalam bentuk siratan  didalam hati, agar anaknya itu akan sentiasa menjaga wuduk dan kebersihan jiwa  raganya. Ini dilakukan oleh ibu sebelum usia anak tujuh tahun.

Demikianlah dakwah berwuduk dari ibu pada anaknya dengan cara menyapu-nyapu atau mengelap dengan air suam pada wajah dan anggota tubuhnya ( tangan dan kaki) sebelum menidurkan anaknya dengan siratan didalam hati, memanjatkan doa pada Allah swt.

Ketiga: Pendidikan anak di awal umur 7 hingga 14 tahun

Seperti tajuk yang telah digariskan diatas, ketahuilah para ibu bapa bahawa pendidikan formal (awal) pada anak sebagaimana yang tersebut tadi bermula dari mengambil wuduk, jika kita benar-benar amalkan maka kelak apabila anak itu dewasa akan dapat merasakan kenikmatan solat.

Apabila solat yang dikerjakan dan telah sebati, maka apa yang dikerjakan selama ini sebagai kewajiban akan terasa ada perubahan yakni bukannya merasakan sebagai kewajiban bahkan ianya merupakan "satu anugerah"dari Allah swt.  Jika telah terasa kewajiban dan mendapat anugerah itu maka seseorang tidak akan meninggalkan solat lima waktu malahan terasa amat gelisah jika belum mengerjakan solat apabila tiba waktunya.

Kalau kita perhatikan jari-jari tangan kita lima, bukannya enam dan bukannya empat. Tentulah ada yang tersirat. Allah swt. menciptakan tangan dengan lima jari-jarinya agar kita sentiasa beringat-ingat pula akan yang lima, iaitu kewajiban lima waktu solat sehari semalam.

Bersalam dengan ibubapa.

Mendidik anak yang biasa diamalkan oleh orang-orang dahulu telah dilupakan ialah mengajarkan anaknya agar setiap pagi dan malamnya mencium tangan (bersalam) pada ibu dan bapanya.
Sebagai orang tua yang mengharapkan anaknya berakhlak mulia sudah pasti akan merasakan satu kebahgian yang tidak dapat dilukiskan apabila si anak datang dan mencium tangan ketika bersalaman. Oleh sebab itu, didiklah anak-anak itu sejak dari kecil lagi. Ajaklah dengan baik agar mengamalkan ajaran bersalaman, yakni berjabat tangan dan si anak mencium tangan orang tuanya pada setiap pagi dan malam.

Waktu-waktu bersalaman ialah pada sebelah pagi hari sebelum pergi ke sekolah dan sebelah malamnya sebelum tidur. Atau paling tidak sehari sekali iaitu bersalaman pada waktu pagi hari. Dahululah ibunya kemudian bapanya. Dengan cara ini maka hubungan anak dan orang tua akan lebih mesra. Dalam pada itu anak akan lebih merasa kasih sayang pada kedua ibubapanya dan akan lebih memperhatikan segala perintah yang diberi. Apa yang tersirat dalam amalan ini adalah banyak sekali. Perlakuan ini jika diamalkan betul-betul memberi pengertian kepada si
anak agar:

1) Mentaati perintah kedua ibubapanya.

2) Dalam tempoh yang agak lama si anak melaksanakan tuntutan bersalaman kepada kedua orang tuanya, maka penghujungnya perlakuan itu akan memberi kesan yang mendalam dalam jiwa mereka, anak-anak akan sentiasa mengingati akan orang tuanya, apabila tiba suatu ketika iblis laknatulallah datang menghasut mereka melakukan kejahatan, maka si anak akan mengingati ibubapa mereka dan terhenti hasrat untuk mereka berbuat kejahatan apabila terbayang akan ibubapa mereka.

3) Anak-anak akan menghargai jerih payah kedua ibubapanya. Mencium tangan memberi didikan menghargai malah lebih dari itu kalau dikatakan dalam bahasa pujangga kedua tangan ibubapa itu ibarat tangan keramat.

Seperkara lagi, pada waktu anak mencium tangan hulurkan tangan kiri bagi menyapu kepala si anak dengan tersirat di hati satu permohonan kepada Allah swt yang bermaksud:

"Wahai Tuhanku lembutkanlah hati anakku dan selamatkanlah dia"

Memberi salam

Begitu pula dalam hal memberi salam dan menjawab salam, dengan cara yang sopan kepada saudara seagama. Ia merupakan didikan yang amat baik kepada anak.  

Memberi sedekah

Memberi sedekah pada fakir miskin. Sebaiknya ajarkan pada anak untuk memberikannya juga untuk bersedekah pada hari Jumaat ketika solat Jumaat bersama, berikan wang pada si anak untuk dia sendiri yang memasukkan duit sedekah itu ke dalam tabung.

Dengan demikian ia akan membuahkan bibit kasih sayang dan jika sifat ini telah sebati didalam jiwa raga si anak maka didikan-didikan akhlak selanjutnya akan mudah diterima.

Rasa kasih sayang

Sifat kasih sayang adalah sifat Allah swt. sebab itulah apa sahaja yang akan kita kerjakan dianjurkan membaca :

"Dengan Nama Allah Yang Maha Mengasihani lagi Amat menyayangi."

Pada amnya ibubapa mengajarkan pada anak-anaknya membaca Bismillah tersebut hanya pada waktu akan makan dan minum sahaja. Pada halnya agama menganjurkan apa sahaja yang akan dikerjakan mestilah didahului dengan "Bismillahirahmanirahim".

Sudah tentu , kerana ucapan itu mengandungi makna kasih sayang, di samping mengharapkan agar perkerjaan yang akan dikerjakan itu diliputi oleh kasih sayang dari Tuhan Yang Maha Esa.

Doa Harian

Hendaknya kedua ibubapa mengajarkan bacaan doa-doa harian untuk anak. Doa-doa harian khusus untuk didikan pada anak-anak boleh dijumpai didalam berbagai bentuk seperti buku dan tulisan bergambar dan boleh dilekatkan supaya anak dapat melihatnya setiap hari.

Kesan Kelakuan Ayah ketika dalam menyambut tetamu.

Ketika tetamu atau teman anda datang ke rumah, janganlah sampai lambat memberi jamuan seadanya. Menyegerakan memberi jamuan berbentuk makanan ringan dan minuman pada tetamu sangat dituntut di dalam Islam.

Ajaklah tetamu kamu memakan makanan ringan atau meminum terlebih dahulu. Sebenarnya disini kita tidak nampak pengaruhnya terhadap anak adalah amat besar, adalah lebih baik jika kita mengajak si anak itu turut bersama membantu menyiapkannya. Waspadalah wahai para bapa dan ibu ! Segala gerak-geri dan kelakuan kamu seorang ayah atau ibu akan diperhatikan dan kemudian ditiru oleh anaknya.

Jika seorang ayah asyik membaca surat khabar setiap harinya, maka si anak yang melihat kelakuan ayahnya itu akan meniru-niru suka membaca. Maka jika menginginkan anaknya suka membaca Al-Quran, orang tua mestilah memulakanya.

Jika menginginkan anaknya solat, orang tua mestilah memulakannya. Sudah tentu jika dimulakan dari kanak-kanak lagi amat mudah untuk membimbing selanjutnya.
 
Orang dahulu berkata : "Melentur buluh biar dari rebungnya".

Ucapan Terima Kasih.

Ajarkan anak mengucapkan "Terima Kasih" ketika menerima sesuatu, tetapi sesudah itu ucaplah "Alhamdulillah"

Pada Amnya ibubapa hanya mengajarkan kepada anaknya mengucapkan "terima kasih" apabila diberi sesuatu oleh orang lain. Tetapi lupa yakni si anak tidak mengucapkan terima kasih apabila ibubapa sendiri memberikan hadiah atau sesuatu. Sebenarnya itulah yang membuatkan si anak itu keliru kerana kita hanya mengajar si anak mengucapkan terima kasih ketika diberi oleh orang lain. Bahkan adakalanya anak itu terdiam sahaja ketika menerima pemberian dari orang lain, walaupun sudah diajar berkali-kali.

Sebenarnya ianya menunjukkan tidak ada praktikal sejak didalam rumahnya sendiri. Ibubapalah sepatutnya selalu mengucapkan terima kasih pada si anak apabila menerima sesuatu dari si anak sewaktu di rumah, amalan ini akan menjadi ikutan pada si anak sehingga dewasa.

"Disini jelas sekali bahawa didikan awal yang paling berkesan pada anak-anak itu bermula dari rumah".

Mengajar ucapan terima kasih sahaja sebenarnya masih belum cukup. Sewajarnya sedang kita berterima kasih kepada seseorang kerana kebaikkannya, maka jangan sekali-kali lupa bahawa orang itu memberi kerana gerak hati yang di tentukan oleh Allah swt. jua. Oleh kerana itu kita sebenarnya dituntut juga untuk mengucapkan "Alhamdulillah", kemudian barulah "terima kasih".

Dengan demikian yang diucapkan ketika ketika menerima pemberian baik dari ibubapa sendiri atau dari sesiapapun adalah seperti berikut:

" Alhamdulillah - Terima kasih"
(Alhamdulillah itu bererti segala puji itu adalah milik Allah)

Walaupun kelihatannya ucapkan tersebut di atas ringkas dan sederhana tetapi ianya mempunyai didikan "tauhid" yang berakar tunjang yang menjunam ke dalam jiwa seorang anak.

Menanamkan rasa tauhid pada masa kanak-kanak adalah masa yang tepat dan akan membuahkan pertumbuhan jiwa yang baik yang dikehendaki oleh agama.

Doa-doa penting yang harus diamalkan

Bagi tujuan pendidikan pada anak, ada lima doa-doa harian yang mesti diamalkan oleh anak-anak. Walaubagaimanapun bukan bermakna doa harian yang lain tidak dimestikan tetapi digalakkan untuk mengamalkannya.

Lima doa yang mesti diamalkan ialah:

1) Doa ketika makan
2) Doa sesudah makan
3) Doa keluar dari rumah
4) Doa sebelum tidur
5) Doa bangun tidur

Doa-doa tersebut boleh di dapati dimana-mana toko buku agama, sila rujuk.

Doa sebelum tidur dan apabila bangun dari tidur.

Ketika hendak tidur biasakan anak-anak mencuci kaki terlebih dahulu. (Telah disebutkan dalam bab yang lepas untuk anak dibawah 7 tahun, hendaklah basahkan kain dengan air suam dan laplah pada muka dan kaki anak.) Adapun acara malam yakni selepas solat maghrib, membaca ayat-ayat suci ( membaca juz amma atau Al-Quran) dalam liputan lebih kurang lima belas hingga tiga puluh minit sudah mencukupi, selepas itu makan malam ( makanan ringan) , selepas itu menyediakan kerja-kerja sekolah atau membaca buku-buku pelajaran. Setelah dirasakan cukup,
kemudian solat Isyak dan masuk tidur. Terlebih afdhal jika dilakukan bersama-sama yakni jama'ah sekeluarga dengan bermakmun kepada ayahnya (ayah menjadi imam) dan muadzinnya anak sulung (lelaki). Setelah selesai barulah masuk tidur dengan membiasakan pada si anak bersalam dan mencium tangan ibubapa.

Apabila bangun dari tidur janganlah lupa , biasakan anak membaca doa bangun tidur. Kerana doa bangun tidur itu mempunyai implikasi (akibat) yang amat mendalam didalam pembinaan taqwa , iman dan budi pekerti seseorang anak. Menurut kajian ilmu jiwa, seseorang anak yang baru bangun dari tidur, otaknya masih belum lagi berfungsi seratus peratus. Daya ingatannya masih ada didalam potensinya (belum keluar) sepenuhnya. Dengan demikian apabila digugah (dikejutkan) dengan doa yang difahami maksud bacaannya itu, menjadikan ia sebagai daya penggerak ingatannya. Hal ini merupakan satu amalan yang akan membawa ke arah pembinaan taqwa, iman dan budi pekerti anak-anak yang mengamalkannya.

Anak Melakukan Kesalahan

Adakalanya seorang anak itu terlanjur membuat suatu kesalahan baik sengaja atau tidak terhadap orang tuanya. Dalam menghadapi masalah macam ini, orang tua sepatutnya janganlah terus marah, sebaliknya harus bersikap tenang kemudian mengajak anaknya itu masuk ke bilik bersama ibunya. Si anak didudukkan kehadapan kedua ibubapanya kemudian si ibu berilah sebab musabab sehingga si anak faham dan tahu apa kesalahan yang telah dilakukannya. Jika didapati si anak itu bersalah maka barulah si bapa boleh bersuara dan memberikan hukuman.
 
Misalnya dihukum dengan melakukan pekerjaan, menyapu halaman, (hukuman ringan), membaca atau menulis pelajaran berulang kali, mencuci motosikal atau kereta dan sebagainya mengikut kesesuaian umur anak itu. Setelah anak telah mengerjakan hukuman itu kemudian disuruhnya menulis doa yang bermaksud berikut:

"Ya Allah aku mohon keampunan dosa dan kesihatan diri dalam agama di dunia dan di akhirat".


Arahkan anak itu menulis sebanyak mungkin, doa di atas sebagai tambahan hukumannya. Boleh juga diganti dengan menulis doa-doa lain yang sederhana. Satu cara yang berkesan ialah sebaiknya doa yang akan dituliskan ini, ditulis pada kertas tebal yang agak besar dan digantungkan dimana-mana dinding biliknya, agar si anak tersebut sentiasa melihat doa itu (beserta dengan ertinya).

Cara inilah yang telah diamalkan oleh orang-orang dahulu apabila menjatuhkan hukuman pada anak cucunya, apabila melakukan sesuatu kesalahan. Ia bertujuan untuk mengelakkan kenakalan anak berlanjutan pada masa akan datang. Bukanlah menghukum anak sehingga menyakiti tubuh badan dan hati si anak.

Ajarkan anak membaca doa apabila masuk dan keluar bilik air.

Dengan mengamalkan doa-doa yakni ketika masuk dan keluar dari bilik air, maka Insya Allah akan mendapat perlindungan Allah swt. dari godaan syaitan.Orang tua- tua memberitahu bahawa syaitan akan masuk melalui ubun-ubun seseorang, jika ia masuk ke bilik air tanpa meminta perlindungan dari Allah swt. Sehingga terlalu kerapnya syaitan itu memasuki ubun-ubun anak (seseorang), maka muncullah atau berlakulah perilaku sumbang. Wallahua'lam...

2 comments:

Banin said...

Assalam//artikel yang sangat sangat baik.. alhamdullilah...terima kasih

saiful said...

Alhamdulillah dapat banyak ilmu. Terima kasih berkongsi dan minta izin untuk dikongsikan.